Assalamualaikum..
Hari ni saya nak berkongsi sedikit info dengan readers...artikel ni saya jumpa kat satu forum..satu tambahan ilmu pengetahuan untuk diri saya..tapi kalau sesiapa rasa tulisan dalam artikel ni tidak tepat, tolong perbetulkan saya..
sumber : FORUM
Penama Takaful/Insurans : Jangan Letak Nama Anak!
Saya menerima satu
maklumat yang agak mengejutkan ketika saya menghadiri satu kursus latihan
baru-baru ini.
"Kira-kira 80% suami akan meletakkan nama
isteri mereka sebagai penama polisi takaful mereka, namun hanya kira-kira 30%
isteri meletakkan nama suami mereka sebagai penama", kata pegawai latihan
tersebut kepada para peserta.
Ia disambut dengan hilai tawa para peserta
porgram. Baik lelaki mahupun wanita. Ada yang tersenyum-senyum, terutama wanita.
Bagi peserta lelaki pula, nampak senyuman sinis di bibir mereka.
Saya
pun agak sedikit terkejut dengan pendedahan tersebut. Apabila diimbas sekali
polisi-polisi klien-klien saya sebelum ini, memang tidak dapat dinafikan kaum
wanita akan cenderung untuk tidak meletakkan nama suami mereka sebagai penama
takaful mereka.
Malah, sebenarnya perkara ini bukan saya berlaku di
dalam memilih penama polisi takaful, ia juga melibatkan penama di dalam
perkara-perkara lain. Sebagai contoh, penama Kumpulan Wang Simpanan Nasional
(KWSP), selalunya wanita meletakkan nama ibu atau bapa mereka.
Baca
beberapa contoh kes di dalam tulisan: Siapa Penama Polisi Takaful / KWSP Anda?
Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, selalunya wanita akan
meletakkan nama anak-anak mereka sebagai penama. Dalam kes KWSP pula, nama ibu
selalunya diletakkan kerana selalunya mereka bekerja terlebih dahulu dan
kemudian baru berkahwin. Selepas berkahwin, penama tersebut tidak diubah.
Isteri “Kurang” Percaya Kepada Suami?
Berdasarkan pengalaman
saya berhadapan dengan pelanggan-pelanggan wanita, selalunya alasannya adalah
kekhuatiran (baca: ketidakpercayaan) mereka terhadap suami mereka selepas mereka
meninggal dunia nanti. Mereka khuatir suami mereka akan berkahwin lain
menggunakan duit pampasan takaful mereka!
Kekhuatiran bertambah lagi
apabila mereka membayangkan selepas itu suami dengan isteri barunya akan
mengabaikan anak-anak kandung mereka. Juga membayangkan yang isteri baru
suaminya akan bertindak tidak sewajarnya kepada anak-anak mereka.
Mereka
membayangkan isteri baru suami mereka a.k.a ibu tiri anak-anak mereka laksana
Rika Sumanto di dalam drama Bawang Merah Bawang Putih! Atau seperti watak Sofia
di dalam Puteri Aurora Beradu.
Ya, satu kekhuatiran yang berasas!
Saya tidak nafikan, kekhuatiran kaum hawa tersebut ada asasnya. Demi
kasih sayang ibu kepada anak, kadang-kadang mengatasi kasih sayang isteri kepada
suami sendiri.
Apabila ditanya kepada isteri saya pun, begitulah juga
perasaannya. Apabila ditanyakan kepada ibu saya pun begitulah halnya.
Penama Hanya Pemegang Amanah, Bukan Penerima
Namun, sebenarnya
tindakan meletakkan nama anak sebagai penama tidak menyelesaikan masalah.
Kerana, penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Penama
bukanlah pemegang hak tersebut.
Ia sebenarnya telah diputuskan di dalam
mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 lagi. Rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=103
Secara umumnya, penama hanyalah
bertindak sebagai pemegang amanah sahaja.
Penama hanyalah sebagai
pemegang amanah bagi harta bagi si mati sama ada pampasan takaful/insurans, wang
KWSP dan lain-lain. Penama tadi bertanggung jawab untuk mengagih-agihkan
harta-harta tadi kepada pewaris si mati mengikut hukum faraid.
Apabila
penama yang diletakkan adalah anak di bawah umur 18 tahun, ini akan menimbulkan
masalah, kerana harta tersebut akan dibekukan sehinggalah anak tersebut mencapai
usia 18 tahun.
Saya pernah mendengar satu kes, apabila seorang lelaki
meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak. Beruntung
balu berkenaan kerana suaminya mengambil polisi takaful. Namun apabila dibuat
tuntutan, didapati penama yang diletakkan adalah nama anak-anak mereka.
Maka, wang pampasan tersebut terpaksa dibekukan sehingga penama mencapai
usia 18 tahun. Lebih malang lagi, anak sulung mereka baru mencecah usia sekolah
rendah. Maka, balu tadi terpaksa menunggu kira-kira sepuluh tahun selepas itu
untuk membuat tuntutan sepenuhnya terhadap harta peninggalan si mati.
Justeru, berhati-hati sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan ingin meletakkan
nama anak sebagai penama. Pastikan mereka sudah cukup umurnya 18 tahun.
Sebaiknya, letaklah nama orang yang kita terima ijab dan qabulnya
sebagai pemegang amanah harta kita sesudah kita tiada.
Nota: Sekiranya
tuan-puan masih mampu membaca tulisan ini, bermakna tuan-puan masih berpeluang
untuk menukar nama penama tuan-puan sebelum tuan-puan pergi terlebih dahulu
No comments:
Post a Comment